Tuesday, October 23, 2007

3 Cara Menangani Isu Kewangan Pasangan Yang Baru Kahwin

Adakah anda graduan yang baru bekerja ? Jika anda baru bekerja tentunya seperti manusia lain ingin mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Namun begitu saban hari tentunya kita sama-sama mendengar keluhan pasangan yang baru berkahwin tentang masalah kewangan. Pelbagai kaji selidik menunjukkan antara konflik besar pasangan baru tentang masalah kewangan. Apabila memulakan kehidupan baru suami isteri, tentunya kita mahu mengelakkan masalah kewangan yang berpanjangan apalagi meretakkan hubungan suami isteri!


Memulakan perkahwinan dengan berhutang


Bila bercerita kisah komedi Tan Sri P Ramlee, tentu anda akan tersenyum langung ketawa berdekah-dekah, misalannya bagaimana dia telah berkahwin FREE dalam cerita Ahmad Albab. Bagaimana pula jika dibandingkan dengan situasi anda jika ingin berkahwin. Alangkah bagusnya jika boleh kahwin FREE seperti itu. Namun, rata-rata pasangan hari ini, memanglah tiada kesempatan untuk berkahwin FREE tetapi banyak pula yang berkahwin secara hutang! Bagai tidak lama dapat merasakan hidup bahagia merpati dua sejoli, kerana bebanan hutang kian hari makin dirasai. Banyak pasangan terpaksa berdepan dengan isu pengurusan kewangan hampir setiap hari, semata-mata kerana tidak mempunyai pelan pengurusan wang jangka panjang. Hanya beberapa kerat sahaja yang mempunyai simpanan ataupun memperoleh sedikit 'saguhati' dari ibubapa yang mampu untuk menolong pasangan tersebut pun, hanyalah untuk majlis ijab kabul,belum lagi kita berbicara tentang kehidupan rumahtangga pasangan tadi.


Ingat tuan-tuan dan puan-puan : Ijab kabul hanya sehari, hidup dalam rumahtangga kalau boleh sampai mati barangkali 50 tahun lagi, jika anda berkahwin pada umur 25 tahun.


Membeli kereta baru


Siapa tak hendak ? Pastinya anda tersenyum sendiri membayangkan perasaan anda apabila membawa kereta idaman keluar dari ‘showroom’. Sekali lagi saya tertarik dengan cerita klasik melayu berjudul Siapa Besar ? Ia mengisahkan bagaimana dua pasangan yang berjiran sering beradu, bukanlah untuk menunjukkan kekuatan fizikal tetapi bersikap menunjuk-nunjuk kemampuan dari segi harta benda masing-masing. Misalnya apabila satu daripada pasangan tersebut membeli kereta, jirannya akan membeli kereta yang lebih besar, akhirnya salah seorang dari pasangan tersebut membeli lori, kalau tak silap saya!!


Selesai sudah berkomedi, cuba kita renungkan sejenak situasi ini. Apa benarkah jiran-jiran anda itu orang yang berada. Sebagai manusia, sedikit sebanyak tentu kita ada perasaan untuk memiliki juga kenderaan yang baru dan berjenama dari Eropah misalannya. Tidak pernahkah terdetik dihati kita untuk bertanya adakah jiran tersebut membeli secara tunai atau hutang ? Apa pekerjaannya ? Berapa gaji isirumah itu sebulan ? Adakah jiran itu mempunya anak yang ramai atau menanggung perbelanjaan ibubapa, seperti sebahagian besar dari kita ?


Gunakan kad kredit


Kalau boleh jangan diguna langsung, jika hendak guna juga, pastikan anda mampu membayar balik dalam tempoh sebelum faedah dikenakan. Namun realiti tidak begitu. Ini ialah kerana terdapat perbelanjaan diluar jangkaan seperti kereta rosak ataupun, banjir mahupun tsunami seperti yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang. Yang menjadi masalah apabila kita berbelanja walupun kita sedar tidak mampu untuk membayarnya. Contohnya berbulan madu di luar negeri, pakaian berjenama di kedai butik atau makan mewah di restoran-restoran ternama.Orang kata hidup atas dunia hanya sekali! Adakah 'orang' yang berkata-kata tadi sanggup juga membayar hutang kad kredit anda??


Walaupun seperti orang lain kita berkeinginan untuk mengecapi nikmat dunia, kita perlu fikirkan kesan buruk jangka panjang bakal menimpa. Sebangai contoh, apabila perbelanjaan melalui kad kredit tidak dapat dibayar penuh, kita secara tidak sedar telah memulakan satu tabiat negatif iaitu membuat pembayaran minima sahaja. Sebahagian pula hanya membayar faedah dan tidak membayar hutang pokok. Pemilik bank-bank tentunya dibuai mimpi yang indah belaka menikmati pelbagai caj dan faedah yang anda ‘persembahkan’ setiap bulan.


Kesimpulannya, untuk megelakkan masalah kewangan ialah dengan membuat pelan kewangan jangka panjang, guna ‘common sense’, berbelanja berhemah dan berdisiplin. Pencegahan ialah langkah paling mujarab untuk mengelakkan masalah keawangan di masa depan. Jika pasangan yang mahu berkahwin atau baru berkahwin boleh melaksanakan tiga langkah ini, tentunya banyak masalah buruk dapat dielakkan, sambil menikmati hidup yang lebih bahagia tanpa stress!

No comments: