Friday, October 19, 2007

7 Faktor Kemewahan

Dalam sebuah buku berjudul 'The Millionaire Next Door' karangan Profesor Stanley dan Danko memaparkan kajian dan temuduga selama 20 tahun golongan kaya atau berada di Amerika Syarikat. Kajian ini telah membuka mata awam tentang persepsi kita bagaimana sikap dan corak pekerjaan jutawan di Amerika Syarikat.

Menurut buku tersebut, terdapat jurang perbezaan yang besar dari segi apa yang 'disangka' orang ramai tentang kekayaan atau apa yang disifatkan oleh pengarang tentang harta yang sebenar. Bagi pengarang harta hampir tiada kaitan dengan tahap pendapatan seseorang inidividu. Malah harta didefinasikan sebagai kombinasi umur individu tersebut dan 'net worth'. Mereka yang 'berada' ialah individu yang ada net worth sekurang-kurangnya 1 juta. Pada tahun 1996, 3.5% dari 100 juta isirumah rakyat Amerika adalah jutawan.

Menurut kajian, mereka yang benar-benar berada di Amerika, memiliki 7 persamaan sikap sesama mereka. Setiap sikap ini memainkan peranan yang strategik mendorong inidividu tersebut untuk mencapai tahap kejayaan masing-masing.

1- Mereka hidup sederhana atau berbelanja kurang dari kemampuan.
Tidak seperti sangkaan umum, mereka gemar mengamalkan perbelanjaan berhemah. Mereka elakkan berbelanja seperti kereta mewah atau kapal layar glamour yang umumnya akan menarik minat media. Ini disebabkan mereka langsung tak berminat untuk masuk ke medan media seperti ditemurawamh dalam TV mahupun majalah, tetapi mereka idamkan hidup yang bebas dari berhutang.

2- Mereka membahagikan masa, tenaga dan wang secara efisyen atau sebagai batu loncatan untuk mengecapi kemewahan jangka panjang.

Mereka bijak membuat bajet dari segi kewangan dan pembahagian masa. Mereka membuat pelan dan jangkaan berkaitan pendapatan dan perbelanjaan mereka untuk tempoh setahun yang akan datang, sepertimana Pak Lah membentangkan Bajet Tahunan negara di Dewan Rakyat.

3- Mereka percaya *Financial Independence* lebih penting dari sikap 'menjaga status'

Kita biasa dengar ungkapan 'Biar papa asal bergaya'. Sikap sebegini jauh sekali untuk digunapakai oleh golongan jutawan ini. Malahan mereka tidak berminat untuk memiliki kereta atau barangan mewah lain. Lain pula kalau kita lihat masyarakat di Malaysia. Tentu biasa anda lihat kereta-kereta besar di kawasan setinggan mahupun di kawasan flat, kerana ramai yang lebih mementingkan gaya kereta yang dipakai, sungguhpun kereta lazimnya mempunya jangka hayat 7 - 9 tahun sahaja berbanding kediaman yang boleh digunakan untuk tempoh yang cukup lama.

4 - Ibubapa mereka tidak memberi bantuan kewangan

Statistik menunjukkan, lebih banyak bantuan kewangan diberikan kepada anak golongan yang berada ini, lebih besar kebarangkalian anak tersebut akan GAGAL mengumpul harta. Secara amnya, lebih banyak anak mereka dibantu dari segi kewangan, anak ini akan menyimpan dengan kadar yang sangat sedikit. Kata pepatah Barat 'Easy come, easy go!' yang bermaksud, 'Senang Dapat, Senang Lesap!'

5- Anak-anak mereka yang dewasa mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh

'Tugas ibubapa yang bertangungjawab' menurut penulis ialah membantu 'anak yang lemah'. Kajian yang dibuat mendapati bantuan kewangan terhadap anak-anak yang telah dewasa mempunyai dua fungsi. Ia menyebabkan anak tersebut terus bergantung hidup kepada ibubapa dan juga melemahkan kedudukan kewangan ibubapa tersebut.

6- Mereka bijak merebut peluang-peluang yang muncul di pasaran

Saban hari pelbagai peluang kita tempuhi. Namun ia memerlukan seseorang yang bijak untuk merebut peluang tersebut. Pengaruh konsumerisma yang ditempuhi oleh semua lapisan masyarakat akan memberi laba yang besar kepada mereka yang bijak menawarkan perkhidmatan yang bernas atau barangan baru yang canggih tidak ditawarkan oleh orang lain.

7- Mereka memilih karier yang strategik

Terdapat banyak industri yang menguntungkan. Namun, perniagaan yang menguntungkan tidak menjanjikan pemilik atau staf perniagaan tersebut akan menjadi orang yang berada. Kemewahan dikecapi melalui bakat, usaha dan disiplin.

No comments: