Sunday, November 18, 2007

Baru Kahwin: Tips untuk membeli rumah

Selepas kahwin ramai pasangan akan berfikir "Di mana mahu membeli rumah idaman?" Keluarga baru, rumah baru. Memang ideal selepas kahwin terus masuk ke rumah baru. Tapi adakah pilihan ini semua orang dapat memiliki? Selepas kahwin, apa patut di fikirkan untuk membeli rumah?

1- Apa yang penting bagi kita
Lokasi, rupa bentuk rumah, akses jalan, gaya hidup & di mana rumah mertua & ibu bapa adalah antara faktor-faktor yang mungkin anda tengah fikirkan. Susah juga ya bila kita banyak pilihan. Mari kita lihat dua case study untuk mendapat pengajaran:

Case study 1:
Ada kawan saya yang membeli rumah jauh dari rumah ibu-bapa dan mertuanya, lebih 20km. Rumahnya memang selesa dan sesuai untuk keluarganya yang membesar dengan 3 anak. Memang best lah. Kedua pasangan telah membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke rumah mertua setiap hari kerja sebelum ke ofis di KL. Bukan untuk menghambakan mertua tapi untuk anaknya kenal dengan mereka. Selepas 2 bulan saya dengan keduanya mengeluh. Traffic jam! Banyak masa habis dibuang di jalan raya. Berberapa bulan selepas itu mereka membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang lebih dekat dengan kedua rumah ibu bapa dan mertua. Sekarang ini mereka dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga.

Case study 2:
"Cantiklah rumah tu" kata Joe. Rupa bentuk rumah menjadi faktor penting Joe dan keluarganya. Mana tidak, tak akan kita membeli rumah yang hodoh. Mestilah nak rumah cantik. Isteri Joe selalu berkata "Inikan hasil dari titik peluh kami. Mestilah beli yang cantik". Tidak salah beli rumah cantik. Mereka pun belilah satu rumah teres berkembar di kawasan Sungai Buloh. Selepas rumah itu dah siap, situasi kewangan Joe telah berubah. Syarikat yang dia berkerja sebelum tidak semaju dulu. Gajinya tidak naik, bonus pun tak ada. Joe sekarang sudah ada dua anak dan isterinya berkerja part-time sahaja. Joe tidak dapat menampung bayaran pinjaman rumah dan mahu menjual rumahnya. Tapi malang bagi Joe, kawasan yang dibelinya itu tidak ada ramai yang minat membeli. Rumah saja yang cantik. Sebelum membuat keputusan, lihat dan fikirkan juga faktor lain yang mustahak. Situasi dan kondisi kita mungkin berubah.

2- Membuat keputusan pada masa yang tepat
Harga rumah semakin hari semakin mahal. Tak banyaklah tempat yang kalau kita tunggu lama lagi harga rumah akan jatuh. Masa adalah satu faktor penting yang patut kita perhatikan ketika membuat keputusan. Tapi janganlah terburu-buru atau menangguhkan keputusan. kaji dulu pilihan rumah yang mahu di beli betul-betul sebelum membuat keputusan.

3- Membuat kajian sebelum membeli
Bagaimana mahu mengkaji? Apa yang patut di lihat? Tanyalah siapa yang anda kenal tentang apa yang patut kita tahu sebelum membeli rumah. Apakah prioriti kita? Bila prioriti berubah adakah rumah yang kita beli masih sesuai? Satu contoh kajian ialah membuat perbandingan harga, antara rumah yang baru dan yang lama. Kawasan lama biasanya lebih kemudahan dari kawasan baru. Untuk keluarga yang baru kemudahan seperti kelinik dan pasaraya penting untuk kemudahan kehidupan harian.

4- Menabung awal dan mengira keupayaan membeli
Membeli rumah merupakan satu pelaburan besar. kalau di bayar dengan pinjaman bank, ia mungkin mengambil masa lebih 20 tahun, satu masa yang panjang. Dengan menabung dari awal, kita akan lebih cepat dapat membeli rumah.

Keupayaan membeli rumah kita juga berubah bila kita semakin tua. Pada kebiasaannya, gaji kita akan naik selepas kita mempunyai lebih pengalaman bekerja. Tapi ini cuma kebiasaan, mungkin juga gaji kita akan turun atau kita di buang kerja. Rumah adalah harta yang di guna untuk menyenangkan kita, janganlah ia menjadi satu beban untuk kita.

Saturday, November 3, 2007

Sudahkah anda menabung ?

Pernah tak kita ditanya tentang menabung ? Barangkali kita bertanya pada diri sendiri ker ? Objektif simpanan wang ini pelbagai, misalannya untuk kecemasan, melancong, perkahwinan, atau pembedahan (untuk masalah kesihatan seperti Tee Hui Yee atau Siti Salmah atau plastic surgery, ker ?) Ataupun anda sering mengalami masalah keputusan wang di tengah-tengah bulan dan sering kehairanan tidak tahu kemana wang gaji (atau wang saku untuk pelajar) telah pergi ? Anda juga hairan, tak tahu kemana pendapatan anda telah dibelanjakan ? Kalau jawapan anda ialah YA untuk semua soalan diatas, 3 langkah mudah berikut, tentu senang sekali untuk anda lakukan.

1- Potong jer terus 10% dari wang pendapatan anda sebagai simpanan!

10% ??! Eh, macam drastik jer! Melampau nih! Selama nih, gaji tak pernah cukup, nak potong 10% pulak! Sepintas lalu saya pun bersetuju juga! Tapi kalau diingatkan kembali, bila ditanya sebentar tadi anda pun, takde idea untuk memberitahu kemana anda telah belanjakan. Sikap kita umumnya akan membelanjakan wang, selagi ada didalan akaun bank. Jadinya kalau 10% telah diselamatkan dari diri sendiri tentunya wang ini tidak 'terbelanja'!

Macamana langkah nak buat potong 10% nih ?

  • Tanya bahagian penggajian atau sumber manusia, macamana nak buat potongan. Banyak majikan memberikan perkhidmatan potongan tetap / berjadual. Yang paling best, selalunya anda tidak dikenakan sebarang caj! Sebagai contoh anda boleh membuat potongan untuk menyimpan ke akaun ASB atau LUTH.

  • Arahan tetap kepada pihak bank. Kalau anda kurang bernasib baik, majikan tidak memberi perkhidmatan potongan tadi, anda boleh membuat arahan tetap supaya pihak bank akan menyalurkan potongan anda setiap bulan. Kelemahan cara ini, anda mungkin akan dicaj oleh pihak bank. Namun, pada hemat saya caj ini memang berbaloi pada masa panjang, kerana kita manusia memang mudah lupa, bak kata Dr M!

2- Potong kenaikan gaji anda!

Jika anda merasakan cadangan no 1 tadi sukar sangat untuk dilaksanakan, usah khuatir, ada lagi jalan lain. Umumnya setiap majikan akan memberi 'increment' atau kenaikan gaji setiap awal tahun. Contohnya jika gaji anda untuk bulan November dan Disember ini ialah RM2,000 sebulan, kenaikkan 5% akan menyebabkan gaji anda bertambah kepada RM2,100. Dengan ini anda telah memperolehi pendapatan yang lebih RM100. Sekiranya anda jujur dan ikhlas untuk menabung tentu sukar untuk anda beri sebab yang cukup munasabah kepada diri sendiri untuk anda belanjakan extra RM100 tuh (dengan syarat tiada perubahan ketara dalan hidup anda, seperti berkahwin atau isteri bersalin).

Dengan ini, sebaik sahaja anda mengetahui berapa peratus kenaikkan gaji bulan Januari nanti, hubungi bahagian penggajian dengan segera dan buat potong seperti yang dicadangkan tadi.

3 - Simpan melalui skim insurans 'Investment Link'

Ini ialah lagi satu cara untuk anda menabung. Skim insurans ini mempunyai objektif serampang dua mata. Ia memberi perlindungan kepada anda dan juga membuat pelaburan (dari 'simpanan anda setiap bulan') melalui premium yang dibayar.

Skim ini sesuai untuk mereka yang sukar berdisiplin untuk menabung. Kebaikkan skim ini ialah ia memberi anda perlindungan disamping menabung. Kelemahan pula selalunya pulangan yang diberikan agak rendah.

Penting :
Pastikan anda menyemak setiap bulan untuk memastikan arahan potongan telah dilaksanakan (update passbook).

Jika semuanya telah dibuat, anda boleh dapat 4D!.

Duduk Diam-Diam, Duit masyuk! Bukannya nombor ekor 4D tuh! Haram bang! Tak cium bau syurga nanti!??

Friday, October 26, 2007

Selalukah Anda Hilang Barang? masukkan dalam kotak.

Di rumah saya ada 5 stapler! Dahulu, setiap kali saya nak guna stapler, mesti tak jumpa. Mana daaa... Memang benarlah biasa simpan di meja study tapi stapler ni kadang-kadang boleh berjalan lah. Macam ada kaki. Ramai yang guna tak letak balik pada tempatnya. Saya juga tak ingat dimana saya meletaknya. Sama juga dengan alatulis lain, selalu saja hilang. Akhirnya terpaksalah kita beli yang baru! Kalau banyak alatulis seperti klip, liquid paper, stem banyak lah lagi yang boleh hilang.

Barang-barang yang kecil biasanya senang hilang atau tersilap letak. Biasanya reaksi pertama kita adalah untuk membeli yang baru. Ini perbuatan membazir. Walaupun harganya murah, duit itu boleh kita menafaatkan untuk kegunaan lain. Macam mana boleh kita mengatasinya?

1- Letak di satu kotak
Meletakkan semua alatulis di satu kotak. Senang nak ingat, cuma satu tempat/benda yang patut kita cari.

2- Kotak yang banyak ruang berasingan
Kotak yang mesti ada banyak ruang supaya alatulis yang berlainan tidak bercampur aduk. Kotak seperti yang di gunakan untuk menyimpan kail memancing adalah ideal.

3- Kotak keras dan boleh di tutup rapat
Kotak alatulis biasanya di bawa ke merata tempat. Ia mesti tahan lasak dan tidak mudah pecah atau terbuka bila terjatuh. Dapatkan kotak yang boleh ditutup rapat dan tidak mudah pecah.

4- Kotak plastik - lebih ringan
Dapatkan kotak plastik. Kotak lain yang di buat dari kertas dan besi mungkin cantik tapi tak praktikal.

Tuesday, October 23, 2007

3 Cara Menangani Isu Kewangan Pasangan Yang Baru Kahwin

Adakah anda graduan yang baru bekerja ? Jika anda baru bekerja tentunya seperti manusia lain ingin mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Namun begitu saban hari tentunya kita sama-sama mendengar keluhan pasangan yang baru berkahwin tentang masalah kewangan. Pelbagai kaji selidik menunjukkan antara konflik besar pasangan baru tentang masalah kewangan. Apabila memulakan kehidupan baru suami isteri, tentunya kita mahu mengelakkan masalah kewangan yang berpanjangan apalagi meretakkan hubungan suami isteri!


Memulakan perkahwinan dengan berhutang


Bila bercerita kisah komedi Tan Sri P Ramlee, tentu anda akan tersenyum langung ketawa berdekah-dekah, misalannya bagaimana dia telah berkahwin FREE dalam cerita Ahmad Albab. Bagaimana pula jika dibandingkan dengan situasi anda jika ingin berkahwin. Alangkah bagusnya jika boleh kahwin FREE seperti itu. Namun, rata-rata pasangan hari ini, memanglah tiada kesempatan untuk berkahwin FREE tetapi banyak pula yang berkahwin secara hutang! Bagai tidak lama dapat merasakan hidup bahagia merpati dua sejoli, kerana bebanan hutang kian hari makin dirasai. Banyak pasangan terpaksa berdepan dengan isu pengurusan kewangan hampir setiap hari, semata-mata kerana tidak mempunyai pelan pengurusan wang jangka panjang. Hanya beberapa kerat sahaja yang mempunyai simpanan ataupun memperoleh sedikit 'saguhati' dari ibubapa yang mampu untuk menolong pasangan tersebut pun, hanyalah untuk majlis ijab kabul,belum lagi kita berbicara tentang kehidupan rumahtangga pasangan tadi.


Ingat tuan-tuan dan puan-puan : Ijab kabul hanya sehari, hidup dalam rumahtangga kalau boleh sampai mati barangkali 50 tahun lagi, jika anda berkahwin pada umur 25 tahun.


Membeli kereta baru


Siapa tak hendak ? Pastinya anda tersenyum sendiri membayangkan perasaan anda apabila membawa kereta idaman keluar dari ‘showroom’. Sekali lagi saya tertarik dengan cerita klasik melayu berjudul Siapa Besar ? Ia mengisahkan bagaimana dua pasangan yang berjiran sering beradu, bukanlah untuk menunjukkan kekuatan fizikal tetapi bersikap menunjuk-nunjuk kemampuan dari segi harta benda masing-masing. Misalnya apabila satu daripada pasangan tersebut membeli kereta, jirannya akan membeli kereta yang lebih besar, akhirnya salah seorang dari pasangan tersebut membeli lori, kalau tak silap saya!!


Selesai sudah berkomedi, cuba kita renungkan sejenak situasi ini. Apa benarkah jiran-jiran anda itu orang yang berada. Sebagai manusia, sedikit sebanyak tentu kita ada perasaan untuk memiliki juga kenderaan yang baru dan berjenama dari Eropah misalannya. Tidak pernahkah terdetik dihati kita untuk bertanya adakah jiran tersebut membeli secara tunai atau hutang ? Apa pekerjaannya ? Berapa gaji isirumah itu sebulan ? Adakah jiran itu mempunya anak yang ramai atau menanggung perbelanjaan ibubapa, seperti sebahagian besar dari kita ?


Gunakan kad kredit


Kalau boleh jangan diguna langsung, jika hendak guna juga, pastikan anda mampu membayar balik dalam tempoh sebelum faedah dikenakan. Namun realiti tidak begitu. Ini ialah kerana terdapat perbelanjaan diluar jangkaan seperti kereta rosak ataupun, banjir mahupun tsunami seperti yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang. Yang menjadi masalah apabila kita berbelanja walupun kita sedar tidak mampu untuk membayarnya. Contohnya berbulan madu di luar negeri, pakaian berjenama di kedai butik atau makan mewah di restoran-restoran ternama.Orang kata hidup atas dunia hanya sekali! Adakah 'orang' yang berkata-kata tadi sanggup juga membayar hutang kad kredit anda??


Walaupun seperti orang lain kita berkeinginan untuk mengecapi nikmat dunia, kita perlu fikirkan kesan buruk jangka panjang bakal menimpa. Sebangai contoh, apabila perbelanjaan melalui kad kredit tidak dapat dibayar penuh, kita secara tidak sedar telah memulakan satu tabiat negatif iaitu membuat pembayaran minima sahaja. Sebahagian pula hanya membayar faedah dan tidak membayar hutang pokok. Pemilik bank-bank tentunya dibuai mimpi yang indah belaka menikmati pelbagai caj dan faedah yang anda ‘persembahkan’ setiap bulan.


Kesimpulannya, untuk megelakkan masalah kewangan ialah dengan membuat pelan kewangan jangka panjang, guna ‘common sense’, berbelanja berhemah dan berdisiplin. Pencegahan ialah langkah paling mujarab untuk mengelakkan masalah keawangan di masa depan. Jika pasangan yang mahu berkahwin atau baru berkahwin boleh melaksanakan tiga langkah ini, tentunya banyak masalah buruk dapat dielakkan, sambil menikmati hidup yang lebih bahagia tanpa stress!

Friday, October 19, 2007

7 Faktor Kemewahan

Dalam sebuah buku berjudul 'The Millionaire Next Door' karangan Profesor Stanley dan Danko memaparkan kajian dan temuduga selama 20 tahun golongan kaya atau berada di Amerika Syarikat. Kajian ini telah membuka mata awam tentang persepsi kita bagaimana sikap dan corak pekerjaan jutawan di Amerika Syarikat.

Menurut buku tersebut, terdapat jurang perbezaan yang besar dari segi apa yang 'disangka' orang ramai tentang kekayaan atau apa yang disifatkan oleh pengarang tentang harta yang sebenar. Bagi pengarang harta hampir tiada kaitan dengan tahap pendapatan seseorang inidividu. Malah harta didefinasikan sebagai kombinasi umur individu tersebut dan 'net worth'. Mereka yang 'berada' ialah individu yang ada net worth sekurang-kurangnya 1 juta. Pada tahun 1996, 3.5% dari 100 juta isirumah rakyat Amerika adalah jutawan.

Menurut kajian, mereka yang benar-benar berada di Amerika, memiliki 7 persamaan sikap sesama mereka. Setiap sikap ini memainkan peranan yang strategik mendorong inidividu tersebut untuk mencapai tahap kejayaan masing-masing.

1- Mereka hidup sederhana atau berbelanja kurang dari kemampuan.
Tidak seperti sangkaan umum, mereka gemar mengamalkan perbelanjaan berhemah. Mereka elakkan berbelanja seperti kereta mewah atau kapal layar glamour yang umumnya akan menarik minat media. Ini disebabkan mereka langsung tak berminat untuk masuk ke medan media seperti ditemurawamh dalam TV mahupun majalah, tetapi mereka idamkan hidup yang bebas dari berhutang.

2- Mereka membahagikan masa, tenaga dan wang secara efisyen atau sebagai batu loncatan untuk mengecapi kemewahan jangka panjang.

Mereka bijak membuat bajet dari segi kewangan dan pembahagian masa. Mereka membuat pelan dan jangkaan berkaitan pendapatan dan perbelanjaan mereka untuk tempoh setahun yang akan datang, sepertimana Pak Lah membentangkan Bajet Tahunan negara di Dewan Rakyat.

3- Mereka percaya *Financial Independence* lebih penting dari sikap 'menjaga status'

Kita biasa dengar ungkapan 'Biar papa asal bergaya'. Sikap sebegini jauh sekali untuk digunapakai oleh golongan jutawan ini. Malahan mereka tidak berminat untuk memiliki kereta atau barangan mewah lain. Lain pula kalau kita lihat masyarakat di Malaysia. Tentu biasa anda lihat kereta-kereta besar di kawasan setinggan mahupun di kawasan flat, kerana ramai yang lebih mementingkan gaya kereta yang dipakai, sungguhpun kereta lazimnya mempunya jangka hayat 7 - 9 tahun sahaja berbanding kediaman yang boleh digunakan untuk tempoh yang cukup lama.

4 - Ibubapa mereka tidak memberi bantuan kewangan

Statistik menunjukkan, lebih banyak bantuan kewangan diberikan kepada anak golongan yang berada ini, lebih besar kebarangkalian anak tersebut akan GAGAL mengumpul harta. Secara amnya, lebih banyak anak mereka dibantu dari segi kewangan, anak ini akan menyimpan dengan kadar yang sangat sedikit. Kata pepatah Barat 'Easy come, easy go!' yang bermaksud, 'Senang Dapat, Senang Lesap!'

5- Anak-anak mereka yang dewasa mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh

'Tugas ibubapa yang bertangungjawab' menurut penulis ialah membantu 'anak yang lemah'. Kajian yang dibuat mendapati bantuan kewangan terhadap anak-anak yang telah dewasa mempunyai dua fungsi. Ia menyebabkan anak tersebut terus bergantung hidup kepada ibubapa dan juga melemahkan kedudukan kewangan ibubapa tersebut.

6- Mereka bijak merebut peluang-peluang yang muncul di pasaran

Saban hari pelbagai peluang kita tempuhi. Namun ia memerlukan seseorang yang bijak untuk merebut peluang tersebut. Pengaruh konsumerisma yang ditempuhi oleh semua lapisan masyarakat akan memberi laba yang besar kepada mereka yang bijak menawarkan perkhidmatan yang bernas atau barangan baru yang canggih tidak ditawarkan oleh orang lain.

7- Mereka memilih karier yang strategik

Terdapat banyak industri yang menguntungkan. Namun, perniagaan yang menguntungkan tidak menjanjikan pemilik atau staf perniagaan tersebut akan menjadi orang yang berada. Kemewahan dikecapi melalui bakat, usaha dan disiplin.

Wednesday, October 10, 2007

4 Langkah Open House Tanpa Keluhan

"Hari raya tak lama lagi. Ada open house ke tahun ni?" Ramai tak yang bertanya kalau ada open house tahun ni? Tak mahu buat open house ke? Jangan lah risau, open house ni bukan lah sesusah yang ramai sangkakan. Kami di Ringgit ke Syurga mahu berkongsi tip untuk mengadakan open house tanpa keluhan.


1- Tetapkan hari dan beri jemputan open house awal-awal

Dah tahu bila nak buat open house? Tetap kan tarikh awal-awal, barulah boleh menjemput tetamu dan membuat persiapan seperti catering dan menyewa kerusi meja dan khemah. Biasanya ramai yang akan buat open house di hujung bulan Syawal atau last minute. Kalau terburu-buru nanti ada jemputan yang tertinggal dan persiapan yang tidak sempurna.


2- Berikan peta dan panduan perjalanan dengan jelas

Tidak semua jemputan anda tahu atau ingat nak ke rumah anda. Kalau open house di dewan atau tempat lain, mungkin ramai yang keliru nanti. Berikan alamat, peta dan panduan perjalanan ke destinasi open house dengan jelas. Biasanya waktu kita ramai tetamulah yang ramai bertelefon untuk bertanya. Sayangnya kalau ada tetamu yang sesat tidak jumpa rumah anda.

Peta dari Street Directory (http://www.streetdirectory.com.my/) dan World Express Mapping (http://www.wems.com.my/) boleh di gunakan sebagai panduan ada di jual di kedai buku seperti MPH dan Popular.


3- Berikan jemputan berperingkat

Kalau ramai yang diajak, cuba berikan jemputan secara berperingkat dalam satu hari. Mungkin keluarga datang jam 11 pagi, kawan dan jiran jam 1 dan rakan pejabat jam 4 petang. Letih tu memang letih kalau ramai yang datang. Tapi tak sayang ke kalau yang datang tidak sempat pun berbual dengan kita. Mereka datang mahu berjumpa kita, tapi akhirnya makanan saja yang jadi teman..


4- Gunakan katerer, khemah dan kerusi sewa yang boleh di harap

Banyak pilihan katerer, khemah dan kerusi sewa sekarang. Ada juga banyak pakej ‘all in one’ yang menyediakan semuanya sekali, tak payah nak susah-susah cari. Tak kira mana yang kita pilih, ambil lah yang boleh di harap. Cuba tanya siapa yang telah menggunakan perkhidmatan sebelum tentukan yang mana kita pilih. Kalau yang murah sahaja yang kita pilih, mungkin makanannya pada hari open house tak sedap atau ada yang tak datang nanti.

5 Tips bila pergi ke Open House

Aidilfitri menjelma lagi. 30 hari sudah puasa dibulan Ramadhan ditunaikan kini tiba masanya untuk beraya mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan.

Hampir setiap hari ada sahaja 'open house' diadakan. Berikut adalah tips-tips untuk memudahkan anda menghadiri majlis rumah terbuka ini.


1- Bawa peta lokasi.

Sebaik sahaja anda menerima jemputan, minta peta lokasi dari tuan punya rumah. Ini akan memudahkan anda untuk pergi ke rumah terbuka tersebut dan menjimatkan masa perjalanan. Kebiasaannya saya akan cetak peta lokasi beserta alamat penuh dan handphone tuan rumah dan simpan didalam dompet. Boleh juga anda masukkan maklumat ini kedalam PDA ataupun ke dalam calendar handphone anda.


2 - Pastikan tarikh dan waktu majlis rumah terbuka tersebut!

Ini cukup penting, kerana kita perlu datang pada hari dan waktu yang ditetapkan. Jangan pula kita pergi pada hari yang berlainan dari tarikh yang dijemput. Tentang waktu pula, penting untuk kita ketahui linkungan masa majlis itu. Contohnya jika anda ada dua jemputan rumah terbuka di Petaling Jaya dan kedua-duanya pada waktu 8-10 malam, mungkin anda masih boleh manghadirkan diri untuk kedua-dua majlis. Solat maghrib di surau berhampiran dengan rumah yang pertama ingin dikunjungi, akan menjimatkan masa anda. Kemudian setelah 30-45 minit dirumah pertama, bolehlah anda beransur untuk pergi pula kerumah yang kedua pula.


3 - Carpool

Tentunya antara yang menjemput majlis rumah terbuka ini ialah kawan dari pejabat atau mungkin juga kawan dari universiti mahupun sekolah. Ini bermakna, anda juga saling mengenali para jemputan yang akan hadir di majlis tersebut. Oleh itu, anda dan rakan-rakan berpeluang untuk pegi ke majlis itu dengan satu kereta, terutamanya jika kawan tersebut tinggal berhampiran dengan anda ataupun rumahnya terletak dalam perjalanan ke majlis rumah terbuka tadi. Perjalanan berkereta dengan kawan-kawan lama ini sungguh seronok sambil mengingatkan kisah-kisah lama anda juga dapat menjimatkan kos petrol!


4- Bawa payung.

Sambutan hari raya tahun ini pada bulan Oktober. Keadaan cuaca pula selalunya hujan di hujung-hujung tahun ini. Untuk mengelakkan basah kerana hujan elok jika anda simpankan sahaja satu atau dua payung didalam kereta untuk tujuan ini. Anda pasti nampak lebih kemas ke majlis berbading orang lain, kerana hadir dengan pakaian yang rapi dan kemas teratur walaupun dalam cuaca hujan.


5- Bawa paket ang pow dan isinya!

Bila berkunjung ke rumah kawan-kawan, ada kalanya kita berjumpa dengan pasangan yang membawa anak-anak. Tentunya menjadi amalan yang baik jika kita bersedia dengan membawa paket ang pow apabila berkunjung rumah terbuka. Apa lagi jika anda sendiri tidak berhajat untuk membuat majlis rumah terbuka pada tahun ini.